Sejak di bangku sekolah lagi saya diajar dan mendengar tentang petanda-petanda hari kiamat, yang antaranya ialah kemunculan Yakjuj dan Makjuj ini. Maka, apabila terdapat buku yang membincangkan secara khusus berkenaan isu ini tentunya ia sangat mendapat perhatian saya. Di dalam Al-Quran, hal Yakjuj dan Makjuj ini disebut di dalam surah al-Kahfi apabila Allah menerangkan tentang Zulqarnain yang telah membina sebuah tembok yang diperbuat daripada besi dan tembaga untuk memisahkan satu bangsa yang suka berbuat kerosakan daripada menyerang manusia. Turut disebut dalam surah Al-Anbiyaa' yang menyatakan apabila dibuka tembok Yakjuj dan Makjuj, maka telah dekatlah kedatangan hari kiamat.
Sebagaimana yang saya katakan di awal tadi, buku ini sungguh berat. Ia bukan setakat berat pada zahirnya dengan halaman setebal 564 mukasurat tetapi juga pada isi kandungannya yang mengupas secara terperinci tentang bangsa pemusnah ketamadunan itu. Bukanlah buku yang saya syorkan dibaca secara santai sebelum tidur. Jika baca juga bersedialah untuk bermimpi ngeri seperti yang saya alami. Buku yang ditulis oleh Muhammad Alexander Wisnu Sasongko iaitu seorang pensyarah dari Universiti Brawijaya, Indonesia ini membuat kajian secara mendalam tentang Yakjuj dan Makjuj dengan menjadikan Al-Quran, Injil dan Talmud sebagai sumber rujukan utama. Ini kerana kisah bangsa pemusnah ini telah diterangkan oleh Allah melalui wahyu-wahyuNya kepada para rasul sebagai peringatan kepada umat manusia.Pelbagai kajian berkaitan Yakjuj dan Makjuj telah dilakukan sejak zaman-berzaman. Ia sentiasa menjadi isu yang sering diperdebat dan dibincangkan. Tambahan di era Internet ini pelbagai spekulasi berkenaan Yakjuj dan Makjuj telah timbul dan disebarkan sehingga kadang kala sumbernya tidak dapat dikesan. Buku ini merupakan salah satu daripada usaha pengkajian yang menyatakan secara jelas sumber rujukan dan sahih. Maka bagi mereka yang ingin mengetahui dengan lebih jelas berkenaan Yakjuj dan Makjuj berdasarkan dari sudut pandangan penulis ini jangan belek-belek sahaja bila menemui buku ini di kedai buku. Terus sahaja beli!






